Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Blogger Template From:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, January 23, 2006

Bicara Sufi

Arakian berjalanlah seorang sufi, berjubah putih suci, di wajahnya terserlah satu ketenangan. Maka bermula safarnya itu di bulan Rejab. Maka tersebutlah tujuan si sufi itu mengembara adalah untuk keluar dari kampungnya yang sudah cukup bahagia untuk meninjau-ninjau keadaan kampung-kampung yang lain. Si sufi ini sebenarnya adalah seorang hartawan tetapi dia juga seorang dermawan. Terkenallah namanya di seluruh kampungnya itu sebagai seorang kaya yang budiman. Bukan itu sahaja, ghalibnya saban hari, saban malam ia memberi tunjuk ajar kepada penduduk kampung akan tentang agama allah yang suci. Setelah dilihatnya penduduk kampungnya itu sudah mampu meneruskan hidup berlandaskan jalan Al-Quran dan Sunnah maka ditinggalkanlah beberapa orang pemuda yang alim tentang kalam Allah dan sabda Rasulullah SAW sedangkan dia mahu mengembara ke kampung-kampung lain.

(1)
Ketika sedang meneruskan safarnya itu, maka dahagalah tekak si sufi lantaran tidak meneguk air sejak subuh. Mencari-cari oleh sufi itu akan kedai-kedai yang menjual minuman dan makanan. Peliklah di hati sufi ini lantaran melihat tiada bukanya kedai makanan dan minuman di kampong itu. Si sufi pun meneruskan langkahan kakinya walaupun haus di tekaknya semakin mencengkam. Sedang dalam lelah dia berjalan, terlihatlah dia akan sebuah perigi wakaf. Giranglah hati si sufi. Maka berlarilah si sufi kearah perigi tersebut. Di dalam perigi itu, terlihat pula air yang jernih lagi suci. Maka si sufi pun mengambil timba lalu diceduknya air perigi tersebut. Tanpa lupa menyebut nama Allah maka diteguklah oleh si sufi akan air itu sepuas-puasnya. Ketika sedang dia menikmati nikmta air yang menyejukkan itu, terkejut pula dia dengan satu herdikan yang keras. Berpalinglah si sufi ke belakang lantaran ingin melihat siapakah gerangan yang menengkingnya itu. Terlihat oleh si sufi akan seorang lelaki gempal, berjuabh hitam, matanya merah seperti naga. Maka si sufi pun memberi salam. Tapi salamnya tidak disambut oleh lelaki tadi. Bukan sahaja tidak di balas salam si sufi itu, malah diherdiknya pula:

“ Sungguh kurang ajar tuan ini, berpakaian sahaja seperti seorang alim tapi tak tahu adab sopan,” berkata si lelaki berjubah hitam tadi.

Terpinga-pingalah si sufi sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal yang ditutupi oleh kopiah putihnya itu. Maka bertanyalah si sufi akan kemusykilan yang semakin menebal di dalam dirinya:

“ Apakah sebab tuan terlalu marah kala melihat saya meminum air di perigi ini sedangkan setahu saya ini perigi yang di wakafkan untuk orang ramai yang memerlukannya?” soal si sufi memohon kepastian.

“ Engkau ini nampak sahaja alim tapi jahil rupanya. Apa kau tidak tahu ini bulan Rejab, bulan Allah. Kami di kampung ini berpuasa untuk mendapatkan ganjaran-ganjaran yang berlipat kali ganda. Sesiapa yang tidak berpuasa di bulan ini sesungguhnya dia itu manusia yang hina tak tahu bersyukur,” terang lelaki berjubah hitam itu dengan penuh semangat.

Bertambah terpinga-pinga si sufi. Maka lelaki berjubah hitam itu menyambung lagi kata-katanya. Berkata lelaki berjubah hitam itu akan fadhilat-fadhilat yang banyak di bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Di terangkannya bahawa bulan Rejab itu bulan Allah, bulan Syaaban itu bulan Rasulullah SAW dan Ramadhan itu pula bulan untuk umat. Maka fahamlah akan si sufi apa yang lelaki berjubah itu perkatakan. Tahulah dia yang lelaki berjubah hitam dan penduduk kampung itu sudah terkena penyakit fadhilat. Teringatlah si sufi akan pesan guru mursyidnya yang terkenal dengan gelaran Muhaddith. Gurunya pernah berkata di zaman dahulu kala tersebutlah segolongan manusia yang mereka-reka sabda baginda Rasulullah SAW atas nawaitu untuk mengajak manusia menyucikan diri daripada dosa-dosa dan mentaqarrubkan diri yang jauh kepada Allah. Atas nawaitu yang suci itu, maka tersilap langkah pula mereka dengan mencipta sabda-sabda baginda SAW yang baharu. Maka tersebarlah sabda-sabda palsu itu ke seluruh masyarakat hatta mereka yang alim pun terkhilaf manakah sabda Rasulullah SAW yang sebenar dan mana pula sabda rekaan.

Maka tahulah si sufi ini bahawa penduduk kampung ini sudah terpesong mengikut sabda-sabda dan qaul-qaul yang dhaif bahkan palsu jua. Maka berkatalah si sufi membuka bicara:

“ Tidak tahukah tuan bahawa kebanyakan fadhilat-fadhilat yang tuan sebutkan itu qaul yang dhaif bahkan ada pula yang dusta. Tidak takutkah tuan akan amaran baginda SAW bagi mereka yang berdusta di atas nama baginda SAW. Sesiapa yang berdusta di atas nama Rasulullah SAW berdosa besarlah dia dengan sebesar-besar dosa.”

Bertukar lah air muka lelaki berjubah hitam itu. Marahnya bukan kepalang lagi. Mahu sahaja ditempelengnya muka si sufi itu. Dengan bengisnya maka berkata lelaki berjubah hitam itu:

“ Ah apakah engkau ini wahhabi ataupu salafi.”

Maka si sufi dengan tenang menjelas bahawa petunjuknya adalah Al-Quran, pelengkapnya adalah sunnah Rasulullah SAW dan pewaris yang mewarisi kedua-dua ini adalah ulama’ yang sebenar-benar ulama’. Maka bertambah murka si lelaki berjubah hitam tatkala mendengar jawapan-jawapan si sufi. Si sufi pun meninggalkan lelaki berjubah hitam itu dengan penyakit fadhilatnya.

(2)
Si sufi terus berjalan meneruskan safarnya. Kali ini si sufi melihat sebuah gua di kaki sebatang gunung. Maka terfikirlah si sufi untuk merehatkan tubuhnya di gua itu. Masakan tidak sudah sehari-harian dia berjalan. Gua itu sungguh luas. Kelihatan sang kelawar berterbangan, bergayut-gayutan. Si sufi pun melangkah masuk ke dalam gua. Tidak lupa dia memohon kepada Allah Taala mohon dijauhkan segala malapetaka di dalam gua. Tatkala sedang si sufi mencari-cari tapak di dalam gua untuk merehatkan batang tubuhnya. Terdengar pula si sufi akan suara yang ganjil. Pelik bunyinya. Sekali dengar macam orang berzikir. Dua kali dengar seperti bunyi lembu laga yang baru lepas bertarung. Maka mencari sufi akan arah suara itu. Suara itu semakin jelas menangkap ke telinga si sufi. Terlihat si sufi akan sebatang tubuh manusia. Menegur dia si sufi:
“Assalamualaikum,” si sufi memberi salam.
Salamnya tidak bersambut. Lelaki itu terus dengan asyiknya menggoyang-goyang kepalanya sambil menyebut Hu!Hu!Hu!. Tahulah si sufi bahawa lelaki ini sedang berzikir yang sebenarnya bukan zikir. Tiba-tiba lelaki itu memberhentikan zikirnya seraya bertanya:
“Apa yang engkau mahu wahai manusia. Tidak nampakkah engkau yang aku sedang bersuluk,” soal lelaki itu.

Maka mulalah bertanya si sufi akan gerangan apa yang sedang dilakukan oleh lelaki tersebut. Maka menjawablah ia dengan bangganya:

“Ini zikir bukan sebarang zikir. Ini zikir rahsia. Hu!Hu! Hanya yang ma’rifat mengetahuinya.”

Maka terfikirlah si sufi akan cerita gurunya. Pada suatu masa dahulu telah lahir segolongan manusia. Mereka ini menghabiskan masa mereka di gua-gua. Menyuci diri dari segala dosa. Maka mereka itu pula dipimpin seorang guru yang mereka anggap mursyid yang sebenarnya bukan mursyid. Maka diajar kepada mereka segala jenis zikir rahsia. Zikir untuk mereka yang terpilih sahaja. Hanya yang ma’rifat mengenal ma’rifat. Maka berbondong-bondonglah manusia datag kepada guru yang kononnya mursyid ini sambil memohon keberkatan yang sebenarnya penyesatan. Maka dihantar mereka itu ke serata gunung-ganang, bukit-bukau dan ada pula yang duduk di dalam liang lahad untuk menycui diri. Berzikirlah mereka dengan zikir rahsia yang penuh rahsia. Tersebarlah pula berita kononnya mereka yang mengamalkan zikir rahsia ini boleh terbang di angksaraya.

Maka si sufi itu pun mula berbicara:

“Sejak bilakah pula ada rahsia di dalam agama kita. Rasulullah SAW dihantar untuk menyebar agama. Bukankah sifat baginda Tabligh iaitu menyampaikan. Tak pernah pula baginda sebut tentang zikir rahsia. Bahkan tak pernah pula di dalam riwayatnya baginda megamalkan zikir Hu!Hu1 seperti yang tuan buat tadi.”

Maka marah lah si petapa. Dengan bengis ia berkata:

“Ah apa yang engkau tahu wahai sufi yang hina. Aku ini ma’rifat bukan seperti engkau yang pandangan terhijab. Kau tahu jika sekarang aku mahu terbang ke angkasaraya aku mampu melakukannya. Jika sekarang aku ingin mencelikkan si buta nescaya berkuasa aku mencelikkannya. Engkau belum mencapai tahap ma’rifat. Kau tidak tahu segala isi yang rahsia.”

5 comments:

Anonymous said...

Pada pandangan Cik Syaima, apakah patut di ajar ilmu kedoktoran seorang budak tahap UPSR?

Syaima' Azure said...

Salam.soklan ni mcm xda kaitan dgn tajuk posting.tapi bagi saya,ilmu kedoktoran tu luas.kalo tahap pelajar UPSR mungkin boleh diperkenalkan dengan ilmu pertolongan cemas.ia sangat berguna.
wallahu a'laam

Anonymous said...

Assalamualaikum CIK / EN. SYAIMA.
Penulisan saudari penuh dengan sindiran yang menghina seseorang yang ingin mendekati Sang Pencipta iaitu Allah s.w.t.Kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan penulisan saudari, saudari sangat benci kepada golongan sufi atau orang yang cuba keluar dari daerah jahat kepada daerah baik.Jika sungguh saudari membenci golongan sufi,sedarlah bahawa islam yang ada pada diri anda sekarang adalah hasil yang dibawa oleh ulama-ulama sufi 500 tahun dahulu.Bukalah buku-buku sejarah, pergilah jumpa tok-tok guru pondok,pasti ada dapat mengetahui yang mana intan dan yang mana kaca, yang mana sufi yang benar dan yang mana sufi yang batil. Selagi anda hidup di atas dunia ini percayalah bahawa manusia tidak akan terlepas daripada dua perkara. Iaitu betul atau salah, baik atau jahat, benar atau bohong, dan sebagainya. Jadi anda pastikah anda seratus peratus betul dan anda juga pastikah orang lain seratus peratus salah. Jadi ingatlah tidak semestinya apa yang anda fikir itu betul adalah betul disisi Allah dan begitu juga sebaliknya.
Wallahuaklam

Syaima' Azure said...

Waalaikumussalam wbt wahai encik/cik Anonymous..

Pertama sekali, saya memohon maaf andai posting ini mengguris perasaan anda.

Kedua, saya tidak pernah menyatakan saya membenci golongan sufi. Mereka juga Hamba Allah yang redha dan cinta akan Allah sebagai penciptanya.

Ketiga, saya tidak menafikan bahawa ramai sebenarnya tokoh sufi yang memberi pengajaran kepada manusia.

Keempat, apa yang cuba disampaikan melalui posting ini ialah berkenaan amalan-amalan yang dilakukan oleh sesetangah pihak yang terlalu taksub sehingga beramal dengan hawa nafsu, bukan berdasar apa yang ditunjuk oleh Rasulullah SAW. Bukankah Rasulullah SAW itu uswah hasanah yang perlu dicontohi (QS 33:21), bahkan dalam sebuah hadis riwayat Bukhari & Muslim (hadis ke 5 dlm Matan Arbaien An-Nawawi) Daripada Aisyah mengatakan bahawa semua amalan baru yang tidak bersandarkan nash,adalah tertolak.

Saya nasihatkan saudara/i supaya banyakkan lagi mengkaji tentang ilmu agama. Jangan beramal kerana ikut-ikutan,kerana ia akan mendatangkan keraguan dan mungkin jua kesilapan.Beramallah berdasarkan nash dan dalil yang sahih.Kita tak mahu solat kita menjadi seperti kain buruk yang dilemparkan semula ke muka kita.

Asifuni jiddan.
Wallahu a'laam.

Muhaimin said...

teruskan usaha anda...cerita ni byk manfaatnya utk islam...

 

Text