Al-Quranul-Karim dalam pandangannya yang menyeluruh kepada nirwana semesta ini, manusia dan kehidupan ini, telah menerangkan kepada kita satu manhaj yang amali dalam mempersiapkan manusia di segi roh, pembentukan keimanannya dan pentarbiyyahan kejiwaannya.
Firman Allah dalam Surah Al-Anfal:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”
(Al-Anfal:29)
Firman Allah dalam Surah Al-Hadid:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad) supaya Allah memberikan kepada kamu dua bahagian dan rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya serta diampunkan dosa kamu dan ingatlah Allah amat Pengampun lagi amat Pengasihani.”
(Al-Hadid: 28)
Dan firman Allah dalam surah At-Talaq:
“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan segala larangan) nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar (dari perkara yang menyusahkan) serta memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangkakannya.”
(At-Talaq :2-3)
Renungi dan perhatikanlah dalam keseluruhan rangkaian ayat-ayat tadi, apakah yang kita dapati? Kita mendapati bahawa ketakwaan kepada Allah Azzawajala adalah merupakan asas gelombang kekuatan, serta asas bagi nur (cahaya) yang menyuluh dan asas bagi pemberian serta sumbangan (pengorbanan).
Dalam pada itu juga dengan ketakwaan kepada Allah Azzawajala sahajalah yang membolehkan seseorang mukmin membezakan antara yang “kurus” dengan yang “gemuk”, iaitu membezakan antara yang hak dengan yang batil. Begitulah dengan ketakwaan kepada-Nya, Allah menjadikan bagi mereka yang bertakwa satu nur (cahaya). Lantaran dengan cahaya tersebut mereka berjalan di kalangan manusia lalu manusia seluruhnya berpandukan dengan nur hidayah (yang mereka bawa) dan bersinarkan dengan nur tersebut.
Dengan ketakwaan kepada-Nya, mereka (yang bertakwa) mendapat jalan keluar (daripada kesusahan) kepada jalan yang penuh dengan keamanan. Sekalipun mereka di ketika itu berhadapan dengan maut serta berhadapan dengan seksaan-seksaan.
Sayyid Qutb dalam mentafsirkan firman Allah
(Surah Al-Anfal:29) menyatakan:
“Inilah dia bekalan iaitu bekalan persediaan dan kelengkapan di perjalanan. Bekalan ketakwaan yang menghidup, membangkit dan menyedarkan hati, membuahkan di dalamnya setinggi-tinggi
kesedaran, kewaspadaan dan berhati-hati. Menyediakan baginya sinar cahaya petunjuk yang menyingkap segala rintangan ujian di liku-liku perjalanan yang sejauh mata memandang. Cahaya petunjuk ini merupakan cahaya yang tidak dikelami dengan sebarang syubhat (kesamaran) serta mendindingi pemikiran yang sempurna dan benar.
Kemudiannya, ia adalah merupakan bekalan mengampun dan memaafkan sebarang kesalahan,
bekalan kedamaian yang mencurahkan ketenangan dan kegembiraan, bekalan cita-cita serta impian untuk memenuhi dan mencapai kurniaan Allah yang maha besar di ketika hari yang tiada di sana sebarang bekalan di ketika hari yang mana keseluruhan amalan adalah sia-sia, tidak mempunyai sebarang nilaian.
Kesemuanya ini adalah merupakan kenyataan: Bahawa hanya ketakwaan kepada Allah sahajalah yang benar wujud dan menjelma di hati, satu petunjuk yang membezakan antara yang benar dan yang batil yang seterusnya menyingkapkan rintangan dan halangan di perjalanan. Begitu juga dengan hakikat-hakikat kepercayaan (akidah) ini tidak akan dirasai, difahami dan diketahui melainkan kepada mereka yang melaksanakan secara amali.”
Dengan hanya menggambarkan sifat-sifat di atas, seseorang yang menikmati kelazatan hakikat ini tidak dapat memindahkannya kepada orang yang tidak menikmatinya.
Sesungguhnya urusan-urusan kehidupan sentiasa membayangi dan mengelirukan perasaan dan kewarasan. Begitu juga dengan jalan-jalan yang berbagai haluan telah membayangi dan mengelirukan pandangan dan pemikiran. Manakala kebatilan senantiasa mengaburi (membayangi) kebenaran ketika mana pemutusan (penentuan jalan) dan hujah keterangan
dikelami oleh kehitaman, tetapi tidaklah ia terus terselubung dan dibisukan walaupun ianya telah tidak disahuti oleh hati dan akal. Begitu kerap juga perdebatan yang sia-sia serta perbincangan yang penuh dengan kesungguhan dan kehampaan. Kesemua ini adalah berpunca dan tidak wujudnya di sana “ketakwaan”. Apabila ianya wujud, terserlahlah kewarasan, nyatalah
kebenaran, tersingkaplah jalan, tenteramlah hati, lapanglah segala tindakan, tenanglah jiwa dan tetap perasaan, serta teguhlah engkau di dalam perjalanan.
Sesungguhnya kebenaran tidaklah mengasingkan dirinya dari fitrah. Tetapi hawa nafsulah yang mendindingi kebenaran dengan fitrah, hawa nafsulah yang menyebarkan kelam kegelapan, mendindingi pendapat pemikiran menutupi jalan dan menyembunyikannya. Ianya tidak tertewas oleh hujah, tetapi ianya tertewas oleh ketakwaan. Tertewas oleh ketakutan kepada Allah dan muraqabah kepada-Nya ketika tersembunyi dan secara berterangan. Daripada ini nyatalah bahawa Al-Furqanlah (Al-Quran) yang menyinari pandangan dan menghilangkan segala kesamaran serta membuka (menjelaskan) jalan. (Zilal Al-Quran 3/1499)
Lantaran itu apabila ternyata (kepada kita) betapa pentingnya ketakwaan, maka apakah hakikatnya serta bagaimanakah jalan untuk menyampaikan kepadanya?
Ketakwaan sebagaimana takrifan sebahagian para ulamak ialah — “Bahawa Allah tidak melihat engkau ketika mana ia menegah engkau dan bahawa Allah tidak mengurangi (merugikan) engkau ketika mana ia memerintahkan”
Atau takrifan sebahagian ulamak yang lain — Takwa ialah memelihara diri daripada azab Allah dengan mengerjakan amal salih dan takut kepada Nya ketika terang dan tersembunyi.
Ketakwaan adalah merupakan suatu hasil yang jitu, serta buah yang semulajadi bagi perasaan yang dilimpahi dengan keimanan yang mendalam, yang menghubungi dengan muraqabah (mendekatkan) kepada Allah ( Lahir satu perasaan ketakutan kepada-Nya, kegerunan dan kemurkaan dan seksaan-Nya, keinginan serta kesungguhan (ketamakan) kepada keampunan
dan kurnia pahala-Nya.
Al-Quran begitu mengambil berat tentang fadilat (kelebihan) ketakwaan, bahkan dalam pada itu ia menyeru manusia kepada ketakwaan dan menempatkan serta memberikan keistimewaan kepadanya. Sebilangan besar dari ayat-ayatnya yang jelas sehinggalah para pembacanya, hampir-hampir tidak tertinggal satupun muka surat ayat-ayat suci Al -Quran ataupun sebahagiannya melainkan mereka akan mendapati kalimah “attakwa” di sana sini yang dinyatakan oleh yang Maha Pengingat dan Maha Bijaksana.
Para sahabat dan salafus salih begitu mengmbil berat tentang ketakwaan di mana mereka memastikan, bermujahadah untuk mencapainya dan sering bertanya mengenainya. Baginda Umar bin Al-Khattab pernah bertanyakan Ubai bin Kaab tentang takwa. Ubai bertanya: “Pernahkah engkau berjalan di jalan yang berduri? Umar menjawab, “Bahkan!” Ubai bertanya: “Apa yang engkau lakukan apabila berjalan di jalan tersebut? Jawab Umar: “Aku berhati-hati dan berusaha (melepasi nya).” Lalu Ubai berkata: “Maka yang demikian itulah ketakwaan”
( Zilal 1/40)
Berasaskan kepada pengertian ketakwaan seperti yang dinyatakan oleh Ubai bin Kaab dalam jawapannya terhadap soalan yang dikemukakan oleh baginda Umar, Sayyid Qutb Rahimahullah menyatakan di dalam tafsirnya, “Fi Zilalil Quran”:
Yang demikian itulah ketakwaan, kehalusan rasa dalam tindakan, keheningan pada perasaan, ketakutan yang berterusan, kesentiasaan di dalam kewaspadaan dan pemeliharaan (diri) dan ranjau-ranjau di jalan. Jalan kehidupan. Jalan yang sentiasa dirintangi oleh ranjau-ranjau keinginan hawa nafsu, ranjau-ranjau kehalobaan, kebanggaan serta yang menakutkan dan menggetarkan hati, ranjau-ranjau tipuan pengharapan bagi mereka yang tidak mempunyai pengharapan. Tiupan ketakutan dari mereka yang tidak memberikan kemanfaatan serta kemudaratan dan puluhan macam ranjauranjau yang lain. (Zhilal 1/40)
Cukuplah “takwa” dengan segala kelebihan dan keberkesanannya. Sesungguhnya ia merupakan pemancar kelebihan (fadilah) kepada masyarakat seluruhnya. Satu-satunya jalan untuk mengawal kerosakan, kejahatan dan dosa. Bahkan ia merupakan rukun yang paling asasi dalam
pembentukan sesebuah keperibadian di segi kejiwaan dan akhlaknya. Membolehkannya untuk menghadapi sebarang kesusahan dan kepayahan dalam kehidupan ini, serta membantunya untuk membezakan antara sebuah kehidupan yang baik dan yang buruk juga menyabarkannya ketika berhadapan dengan mihnah (ujian), tribulasi dan kesusahan kehidupan ini.
Itulah hakikat ketakwaan yang kesannya begitu terasa dalam pentarbiyyahan sesebuah peribadi dan pembentukan sesebuah jamaah.
Taken from "Menuju Ketaqwaan" Abdullah Nashih Ulwan
Kolam hiasan
6 years ago
0 comments:
Post a Comment