oleh: alquds
Pernahkah sesekali kita mengambil masa walaupun hanya seketika untuk mentadabburi keindahan alam ciptaan Allah yang Maha Perkasa ini? Adakah kita mensyukuri dan mengambil iktibar dari apa yang telah dijadikan oleh Allah di sekeliling kita?
“ Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan penggantian malam dan siang terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka” ( QS 3: 190-191)
Teringat kata-kata seorang akhwat ketika kami sedang menuruni sebuah gunung di negeri Sembilan. Ketika kami berehat melepaskan lelah, ukht ini memberikan sedikit taujih.
” Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit, (pohon itu) menghasilkan buah pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya, dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat.” (QS 14:24-25)
Apakah pengajaran yang kita boleh ambil dari ayat diatas? Bagaimana Allah memperingatkan kita dengan ayat itu. Sangat jelas apa yang diperumpamakan oleh Allah. Cuba kita gambarkan sebatang pohon yang akarnya menghunjam kuat ke tanah (mencengkam), batangnya menjulang ke langit dan sentiasa berbuah pada setiap musim dengan seizin Rabbnya. Bayangkan buah itulah yang menjadi rezeki kepada haiwan mahupun manusia. Sangat besar jasa pohon itu. Mungkin jua akan menjadi naungan manusia ketika waktu panas ataupun hujan..
Cuba kita kaitkan diri kita dengan pohon itu... Bagaimana gambaran seorang mukmin itu digambarkan sebagai seseorang yang mempunyai akidah yang kukuh tertancap di dalam jiwanya, keimanan yang jitu yang memandu arah hidupnya, hatinya yang benar-benar ikhlas dalam rangkanya mencari redha Allah dan sentiasa menampilkan akhlaqul kharimah kerana dirinya benar-benar tercelup dengan ayat-ayat Allah.. Apakah perkaitan sebenarnya antara seorang mukmin itu dengan pohon itu?
Akidahnya yang tertancap kukuh di dalam jiwanya kita boleh kaitkan dengan kekuatan akar yang mencengkam di dalam tanah. Apakah fungsi akar itu? Selain dari mengcengkam tanah untuk menstabilkan pohon itu dan mengelakkannya dari tumbang, akar ini juga berfungsi untuk menyerap air dan nutrien yang ada di dalam tanah. Dengan adanya air dan nutrien yang mencukupi, ia akan dapat membantu tumbesaran pohon itu. Apa fungsi akidah yang benar-benar kukuh dalam jiwa kita? Akidah inilah yang akan mengakui bahawa tiada Ilah yang akan kita sembah melainkan Allah, mengakui kebesaran Allah. Akidah ini jugalah yang akan membentuk peribadi seseorang itu. Selain itu, dengan keimanan yang benar-benar jitu, inilah yang akan memandu kehidupan seseorang mukmin itu. Di mana dengan iman yang kukuh dan mendasar di dalam jiwa seseorang muslim akan dapat membantu menepis godaan duniawi yang sentiasa berlegar-legar disekelilingnya.. begitu juga dengan pohon itu, akarnya yang mencengkam kuat itu membantu dari mengelakkannya tumbang apabila ditiup angin yang kencang.
Pada sebatang pohon itu pasti akan terdapat batang yang berfungsi untuk menstabilkan dan menguatkan pohon tersebut. Seorang mukmin itu juga mempunyai kekuatannya sendiri melalui ibadah wajib yang dikerjakan sehari-harian tanpa ada rasa jemu dan keluh kesah. Ia menjadi tunjang dalam kehidupan seseorang insan itu. Ia banyak membantu diri seseorang itu untuk berdiri teguh dan membantu kekuatan iman itu. Dan pada pohon itu terdapat dahan-dahan yang mana buahnya akan tergantung disitu.. Itulah gambaran ibadah-ibadah sunat yang akan jadi penyokong kepada ibadah wajib kita. Ia membantu untuk menguatkan lagi diri dan dalaman seseorang itu. Kenapa kita perlu melakukan amalan-amalan harian secara istiqomah seperti qiamulail, berzikir, tilawah al-Quran dan lain-lain? Ini kerana ibadah-ibadah sunat inilah yang akan memampung kekurangan yang ada pada ibadah wajib kita. Dan hasilnya akan lahirlah akhlaqul kharimah iaitu akhlak yang mulia terbias dari iman, amal dan hatinya yang bersih...
Dan begitu juga pohon itu, pasti ia akan menghasilkan buah yang manis... Pohon sabar itu buahnya akan merasa manis. Maka sifat sabar dan teliti sangat perlu ada dalam diri seseorang mukmin itu..
Pada pohon itu terdapat dahan-dahan dan daun-daun. Walaupun daun itu sudah berguguran ke tanah tetapi tetap ada peranannya juga. Daun-daun yang gugur itu akan mereput dan menjadi baja yang akan memberikan nutrien kepada tanah itu. Dan ketika daun-daun itu berada di ranting-ranting, ia akan menjalankan proses fotosintesis. Bagaimanakah dengan diri kita? Adakah kehadiran kita di dunia ini memberi manfaat kepada orang lain? Apakah sumbangan kita kepada Islam yang amat kita cintai ini. Persoalan seperti ini sepatutnya kita ajukan kepada diri kita, insan yang lemah dan sentiasa memerlukan kekuatan dari Allah. Sebenarnya erti hidup ini adalah apabila kita banyak memberi kepada orang lain. Maka sangat wajarlah kita merasai kesusahan untuk membahagiakan hidup orang lain.
Dan pada pengakhirannya, sekuat manapun pohon itu, apabila sudah sampai masanya pasti ia akan menyembah bumi. Begitulah aturan Allah.
”Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (QS 3:185).
Begitu juga seorang manusia, terkenal manapun dirinya, suatu hari nanti pasti Allah akan mengambil nyawa kita. Jadi bagaimanakah persiapan kita untuk berjumpa dengan Allah? Sudahkah kita mempersiapkan diri kita? Apakah bekal yang kita akan bawa nanti. Semoga kita sentiasa mempersiapkan diri kita untuk berhadapan dengan Allah nanti.. Semoga kita juga menjadi umat yang terbaik seperti yang difirmankan oleh Allah.
”Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; diantara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (QS 3:110)
Cuba kita fikirkan, bagaimana jika akar itu tidak kuat? Pasti bila-bila masa sahaja pohon itu akan tumbang...Begitu juga dengan diri kita. Kekuatan iman itu amat penting untuk diterapkan dalam diri kita... Keimanan kitalah yang akan memandu diri kita sama ada kita akan memilih persimpangan kehidupan, yang mana satukah kita akan pilih, sama ada jalan kebaikan atau jalan kejahatan. Biarlah diri kita dipandu oleh wahyu Allah bukannya dipandu oleh nafsu... jagalah amalan-amalan kita, luruskan niat selalu, kerana keikhlasan itu tadaik mampu diukur dengan apa pun... hanya Allah sahaja yang mengetahui sejauh mana kita ikhlas... setiap dari kita lahir dengan potensi yang kita tidak sangka-sangka... Cuba galilah potensi yang ada dalam diri kita demi membantu kebangkitan semula Islam...
Mari kita sama-sama hayati kata-kata as-Syahid Imam Hassan al-Banna, ” orang yang tidak memiliki sesuatu maka tidak bisa memberikan kepada orang lain”>
Ambillah pengajaran dari apa sahaja ciptaan Allah di atas muka bumi ini. Walaupun ianya hanya sebutir pasir .....
source: www.halaqah-online.com
Kolam hiasan
6 years ago
0 comments:
Post a Comment