Ketika rasulullah s.a.w menawarkan kepada para pemimpin kabilah untuk membawa dan membela dakwah, kebanyakan mereka menolak. Sebahagian mereka mengatakan: “Jika demikian, kalian akan diperangi orang-orang Arab dan bukan Arab.” Dan ada di antara mereka yang mengatakan: “Urusan ini (dakwah) adalah urusan yang dibenci oleh para penguasa.” Memang demikian adanya, bahawa dakwah akan mendapat tentangan besar dari para penentangnya sepanjang zaman. Dakwah membawa misi besar perubahan, akan melibas beragam budaya dan kebiasaan, menghancurkan kebatilan dan segala ragam perilakunya. Menentang penguasa zalim dan pendukung serta tata aturannya, menghentam Illah batil dengan perundangannya, mengharamkan industri maksiat dan menentang para pemilik dan jajaran pegawainya. Wajar jika dakwah akan mendapat serangan bertubi-tubi sepanjang zaman kerana ada kepentingan besar di sebalik perlawanan tersebut iaitu tradisi, kemuliaan dan harga diri.
Di balik tekanan dakwah yang sedemikian dahsyat, baginda sedar bahawa dakwah memerlukan lelaki kuat penopang tegaknya kebenaran. Hari-hari beliau adalah hari-hari mencari kader guna menguatkan rumah dakwah agar nyaman ditempati penghuninya. Meski beberapa tokoh dan pemuka Quraisy sudah membulatkan tekad menyatakan dokongan terhadap perjuangan baginda, namun Rasulullah s.a.w. masih merasa sangat perlu akan hadirnya tokoh besar dengan jumlah yang banyak. Setiap kabilah didatangi, setiap tokoh ditemui…akankah ada di antara mereka yang siap menjadi pahlawan besar pengawal kebenaran. Keinginan baginda akan kehadiran antara dua tokoh besar Umar bin Khattab dan Umar bin Hisyam (Abu Jahal), baginda lontarkan dalam ungkapan doanya: “ Ya Allah, wibawakan Islam antara dua Umar.” Namun di balik pencariannya, baginda sedar bahawa mencari kader tidak seperti mencari ikan ditambak besar, sebaliknya membahasakan kader seperti unta tunggangan (rohilah), dari seratus unta belum tentu ada satu di dalamnya.
Di salah satu rumah di Madinah, Khalifah Umar bin Khattab r.a. duduk bersama sahabatnya. Lalu bertutur: “Bercita-citalah kalian!” maka salah seorang dari mereka mengatakan: “Alangkah baiknya jika rumah ini dipenuhi dengan emas yang dapat ana infaqkan dan sedeqahkan fi sabilillah.” Lalu umar berkata lagi: “ Silakan kalian berangan-angan!” Mereka menjawab: “ Wahai Amirul Mukminin, kami tidak tahu lagi apa yang harus kami katakan.” Umar pun menjawab: “Ana merindukan para kader seperti Abu Ubaidah Al Jarrah, Mu’az bin Jabal dan Salim Maula Abu Huzaifah, untuk berjuang menegakkan kalimatullah.” Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada Umar. Beliau amat mengetahui tentang faktor penunjang bagi wujudnya kemuliaan dan harga diri, modal besar penggerak bangsa yang mati dan bagi tegaknya peradaban besar yang hakiki.
Sungguh kader lebih mahal dari barang tambang, lebih kuat dari karang dan daya ledaknya lebih dahsyat dari senjata. Kehadirannya di tengah umat mampu membangunkan orang yang tidur, menyedarkan orang yang mabuk bahkan mampu menghidupkan mereka yang telah mati. Tidak perlu ribuan, ratusan atau puluhan bahkan satupun jumlah mereka telah mampu memberi roh baru bagi kehidupan umat. Imam Hasan Al Banna membahaskan kader dengan ungkapan indah: “ Kalian adalah roh baru yang mengalir dalam tubuh ummat.”
Ketika dakwah mendapat sambutan luar biasa dari masyarakat Madinah, Rasulullah s.a.w. tidak perlu lama mencari siapa yang tepat untuk dikirim menjadi da’ie dan murabbi ke sana. Baginda tidak perlu mengirim sahabat senior sekelas Abu Bakar atau Umar Al-Khattab, tidak perlu banyak, cukup seorang iaitu Mus’ab bin Umair sebagai pembuka kota Madinah. Rasulullah s.a.w. memahami benar bahawa seluruh kadernya berdaya dan memiliki tanggungjawab yang tinggi terhadap kerja-kerja dakwah.
Ketika Khalid Al-Walid mengepung suatu tempat dalam pertempuran dahsyat, beliau meminta bantuan pasukan tambahan kepada khalifah Abu Bakar r.a. Akan tetapi sang khalifah hanya mengirim seorang lelaki sahaja iaitu Qo’qo bin Umar Attamimi r.a. seraya berkata: “Insya Allah, pasukan tidak akan kalah dengan adanya lelaki seperti dia.” Dan Khalid Al-Walid pun berkata: “Sungguh! Suara Qo’qo di tengah pasukan jauh lebih menggentarkan musuh berbanding 1000 orang tentera.” Seorang kader terkadang berbanding seratus, bahkan seribu orang. Dan kader kadang kala bandingannya adalah satu bangsa, sehingga dikatakan: “Seorang kader yang punya cita-cita besar mampu menggerakkan satu bangsa.”
Kader ibarat roh bagi raga atau penggerak enjin sebuah kereta. Seluruh roda kebaikan tidak akan bergerak tanpa kehadirannya. Wajar jika Rasulullah s.a.w. dan khalifah-khalifahnya selanjutnya menaruh tumpuan besar kepadanya kerana di atas pundaknya, dakwah meletakkan tanggungjawab besar iaitu tetap adanya risalah kebenaran hingga akhir zaman. Kelemahan mereka membuat tanggungjawab besar iaitu tetap adanya risalah kebenaran hingga akhir zaman. Kelemahan mereka membuat melemahnya dakwah dan melemahnya dakwah membuatkan kehidupan rosak binasa seterusnya menyebabkan umat tenggelam dalam kenistaan. Kerana sangat khuatir Umar Al-Khattab akan kelemahan dirinya sebagai kader, beliau berdoa: “ Ya Allah, aku berlindung paamu dari kezaliman para pendosa dan aku berlindung pada-Mu dari menjadi kader yang tidak berdaya. ” Kalaulah musibah tsunami mampu menenggelamkan ratusan ribu orang, maka yakinilah bahawa ketidakberdayaan kader akan mampu menenggelamkan satu bangsa. Na’udzubillah.
Kekaderan bukan diukur oleh lamanya dan panjang waktunya tarbiyah, tidak juga diukur dari tinggi rendahnya status keanggotaan, akan tetapi diukur dari sebesar apa yang sumbangan yang dapat diberikan bagi kesuburan dan kebaikan dakwah. Apalah ertinya lama tarbiyah dan kesenioran sementara di balik itu semua fatamorgana. Lebih baik menjadi kader pemula yang berdaya daripada menjadi kader ahli yang tidak berguna. Tidakkah kita belajar dari Al-Aswad, seorang budak hitam. Meskipun baru masuk Islam dan belum lagi melaksanakan solat namun beliau memperoleh syahadah kerana sumbangannya. Jelaslah bagi kita, kekaderan ditentukan oleh kerja dan karya, bukan status keanggotaan semata. Boleh jadi status keanggotaan kita terdaftar namun tidak diakui, dan boleh jadi ada orang yang tidak berdaftar menjadi anggota akan tetapi statusnya diakui. Alangkah bijaknya Imam Hasan Al-Banna dalam menetapkan keanggotan kadernya: “ Berapa banyak kader di tengah-tengah kami namun dia bukan bagian dari kami dan berapa banyak orang yang tidak bersama kami namun mereka adalah kader kami. ”
Tidak jarang dalam satu masa ada sejumlah kader yang tidak berdaya, tidak menyumbang dan tidak bekerja. Jangankan sampai tingkatan hadir dalam halaqah atau usrah yang kebaikannya akan dirasakan oleh dirinya sahaja – terasa berat. Kalau semangat membina diri saja sudah terasa berat, bagaimana semangat membina umat? Mundur malu, maju terhuyung-hayang...hidup segan, mati tak mahu…berjemaah serasa ikan masuk daratan. Jangankan lagi memikul beban dakwah justeru kehadirannya sudah membebani dakwah. Apakah dakwah akan menjadi punah kerana keadaan kadernya yang sedemikian merana ? Sungguh tidakkan pernah dakwah ini kehabisan pendukung dan pembelanya kerana dakwah ini milik Allah, maka Dia pula yang akan menjaganya. Bahkan Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa : “ Sesungguhnya Allah akan membangkitkan seorang mujaddid setiap seratus tahn untuk tajdid agama-Nya. ” Dan Allah pun memberikan penegasan bahawa generasi yang tidak peduli dengan urusan agamanya akan digantikan. “ Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatanya kepadamu: “ Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu merasa puas dengan kehidupan di dunia dengan kehidupan akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. ” (At-Taubah: 38-39)
Akankah kita menjadi kader yang berdaya yang akan menggantikan generasi yang tidak peduli, ataukah kita menjadi kader tidak berdaya yang akan digantikan. Semua pilihan menuntut kesannya, silalah gunakan nurani dalam menilai pilihan sendiri….
2 comments:
Salam,
InsyaAllah.....
rasa tersentil,hehe. allahuyubarik alaik ukhti...nak jadi kader pilihan allah,dlm pndangan allah,sntiasa dibimbing allah, ya allah, bantulah hambamu yg lemah ini...
Post a Comment